KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan kerja-kerja pembaikan bagi 400 klinik dan 380 sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion, dengan kadar segera.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha menyegerakan pelaksanaan projek, had sebut harga perolehan kerja pembaikan sekolah dan klinik daif ditingkatkan kepada RM1 juta berbanding RM500 ribu sebelum ini.

Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi, perolehan secara cabut undi juga ditingkatkan kepada RM200,000 berbanding RM100,000.

“Kita ini, saban tahun, selepas enam dekad merdeka, masih berdepan masalah sekolah daif, klinik daif. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan.

“Kita akan permudahkan prosedur dan tahun ini kita mulakan projek raksasa, bukan projek besar mega, tapi membaiki 400 kilnik daif dan 380 sekolah daif.

“Semua sekolah daif dikenal pasti Kementerian Pendidikan dan 400 klinik daif dikenal pasti Kementerian Kesihatan dan kita siapkan dana tambahan RM1.2 bilion untuk maksud ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.


Tambah beliau, isu kemalangan jalan raya yang kian meningkat juga perlu segera ditangani lebih-lebih lagi jika disebabkan kelemahan prosedur kerajaan menyelesaikan masalah keselamatan jalan raya.

“Kerajaan menyediakan RM2.7 bilion untuk menyelenggarakan dan menaik taraf jalan persekutuan.

“Dalam masa sama, bagi melaksanakan penyelenggaran kecil, RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.

“Sejumlah RM1.5 bilion juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar.

“Bagi isu jalan-jalan berlubang, khidmat Jurutera Daerah akan digunakan untuk menyegerakan penurapan kerosakan jalan persekutuan serta pembaikan segera lain berdasarkan aduan rakyat yang diterima,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan menyediakan RM100,000 untuk setiap daerah dan RM50 juta disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi.

IKUTI INTIPATI BELANJAWAN 2023 DI SINI